Ahad, 25 Mei 2008

Segalanya demi si comel

Segalanya demi si comel
Oleh Fairuz Zaidan


Yusri dan Lili melayan karenah 'anak-anak' mereka.

INGAT lagi ketika zaman kanak-kanak, binatang yang satu inilah yang paling saya sukai. Pantang saja ada kucing kampung yang singgah ke laman rumah, alamatnya pasti kucing itu bakal menjadi `tetamu’ istimewa di dalam rumah.

Segalanya demi kucing! Daripada tempat tidur, mangkuk makan dan minum saya sediakan khas untuk si comel. Biar saya yang berlapar asalkan tidak kucing tersayang.

Keadaan itu jugalah menyebabkan ramai ahli keluarga yang lain merungut hanya gara-gara kehadiran tetamu baru itu. Tambahan pula, saya penghidap asma, lagi haru jadinya.

Bila beberapa hari menetap di wad hospital gara-gara penyakit keturunan itu, si comel pasti dalam keadaan `bahaya’ kerana menjadi sasaran anggota keluarga untuk dibuang jauh.

Tetapi, seingat saya ada lebih lima ekor kucing yang pernah dibuang keluarga kerana pelbagai sebab seperti saya dimasukkan ke dalam wad, kucing beranak dan merosakkan barang berharga, pulang semula ke rumah.

Kasihan bila mengenangkan nasib kucing yang terpaksa meredah berbatu jauhnya untuk kembali ke rumah. Keluarga mengandaikan saya yang pergi meredah jauh memungut semula kucing yang dibuang. Hakikatnya tidak kerana kucing mampu `menghidu’ dan mengesan jalan pulang ke rumahnya. Saya hanya tersenyum simpul bila buah hati sudah di depan mata!

Itulah antara kenangan memiliki kucing di zaman kanak-kanak. Hitam, Tompok, Comot, Belang dan Putih kini hanya tinggal nostalgia, apatah lagi menetap di apartmen di ibu kota yang membataskan minat memiliki haiwan peliharaan itu.

Apa yang menarik sangat mengenai kucing hinggakan ramai pencintanya sanggup berbuat hampir apa saja untuk haiwan peliharaan itu? Berbelanja lebih untuk makan, minum, mandi, sikat bulu, potong kuku, perubatan juga berkorban masa dan tenaga. Kencing berak juga sanggup diuruskan.

Malah, ramai yang membahasakan diri kepada kucing sama seperti manusia - Abah, Umi, Abang - seolah-olah kucing itu, anak, adik-beradik, buah hati, teman lelaki, teman wanita! Macam-macam...

Seorang `pencinta’ kucing, Yusri Yunos, 35, berkata, kucing peliharaannya bukan sekadar haiwan kesayangan malah sebahagian daripada keluarga.

Lima kucingnya adalah juga anak-anaknya, kata Yusri, membuatkan dia membahasakan dirinya Abah kepada Cherie, ET, Mango, Pingu dan Snowy, yang berusia antara 2 tahun dan empat bulan. Manakala isteri Yusri, Sharifah Azliliyani Syed Shahazeman, 34, - Umi (ibu) dan anak-anak, Mohd Shamer, 12, dan Mohd Shafrie, 10, Abang.

Kalau anak dan kucing demam, siapa dulu akan dibawa ke klinik?

Sambil tersipu-sipu, Yusri mengakui kucing kesayangan akan didahulukan. Bukan kasih sayang kurang pada anak-anak tetapi mungkin anak-anak, ada ibu yang boleh memberi sepenuh perhatian. Biasalah...

Tapi bagaimana kalau penyakit yang dihadapi anak-anak mahupun diri sendiri sebenarnya berpunca daripada kucing? Ini antara sebab mengapa ramai yang tidak mahu membela haiwan ini. Bulunya dikatakan boleh menyebabkan asma dan memburukkan keadaan sesiapa yang menghidapinya.

Bakteria pada kucing juga dikatakan boleh memudaratkan janin menyebabkan wanita mengandung tidak digalak menghampiri atau membela kucing. Benarkah dakwaan ini?

Namun satu anggapan yang paling menarik perhatian ialah mereka yang suka atau menyayangi kucing dikatakan orang yang penyayang! Betulkah?

Tidak dapat disahkan anggapan ini, namun, andaian ini timbul rata-rata kerana kucing haiwan yang disifatkan manja dan hanya mereka yang mempunyai sifat penyabar serta penyayang mampu menyayangi haiwan ini.

Sharifah Azliliyani atau lebih mesra dengan panggilan Lili mengakui suaminya Yusri seorang penyayang juga romantik.

“Semua sifat ini saya perhatikan ketika kami berkawan lagi dan ketika itu saya tidak tahu pun yang dia sayangkan kucing. Pada saya, mereka yang sanggup membela dan menyayangi kucing memang seorang yang penyayang,” katanya.

Ya? Anda setuju? Lain padang lain belalang, anggapan begini mungkin subjektif.

Kajian pendek yang dijalankan i-Kon mendapati majoriti responden atau 47 orang daripada sejumlah 60 responden bersetuju bahawa mereka yang suka atau sayangkan kucing adalah seorang yang penyayang.

Daripada jumlah itu, 26 responden adalah lelaki manakala wanita seramai 21 orang. Selebihnya, 13 orang atau 21.7 peratus responden tidak bersetuju malah, berpendapat sifat sayangkan kucing tidak boleh dijadikan kayu pengukur sifat penyayang seseorang.

Manusia, kata 13 responden ini, hanya sukakan kucing, satu `benda’ yang comel dan ia sekadar satu hobi. Mereka yang sukakan kucing juga boleh menjadi penjenayah, kata mereka.

Anda bagaimana? Pastinya, lain padang lain belalang, perkara ini sesuatu yang amat subjektif.

Apapaun, ikuti paparan Nobel minggu ini menyelami jiwa `pencinta’ kucing, gelagat dan personaliti mereka. Juga risiko penyakit yang `hadir’ bersama haiwan peliharaan kesukaan ramai ini.

`Mereka’ adalah anggota keluarga

`KEHADIRANNYA’ sebagai pesakit sebuah hospital swasta satu ketika dulu mencetuskan keriuhan. Tidak lama dia didaftarkan sebagai pesakit di situ, hanya empat hari, tetapi cukup untuk membuatkan dia begitu popular, bukan saja di kalangan kakitangan hospital berkenaan malah pesakit lain dan anggota keluarga mereka.

Terima kasih kepada Rico!

Rico, kucing kesayangan Yusri Yunos, 35, yang dibeli pada harga RM300 pada 2002, tiba-tiba naik berang apabila `rumahnya’ dikunjungi rakan-rakan Yusri. Takut dengan kehadiran manusia yang asing, Rico menggigit tangan Yusri menyebabkan bengkak teruk sehingga terpaksa menerima rawatan lanjut di hospital.

Sepanjang empat hari di hospital, ramai yang tercari-cari Yusri - mana pesakit yang kena gigit kucing itu - itu pertanyaan yang acap kali kedengaran. Ramai yang hairan bagaimana seekor kucing boleh menyebabkan seorang manusia `cedera parah’ tetapi itulah `hadiah’ yang diterima Yusri daripada kucing kesayangannya.

Namun, pengalaman itu tidak membuat Yusri serik. Sesudah sembuh, kucing jantan itu tetap menjadi kucing kesayangannya walaupun ada sedikit rasa takut untuk bermesra dengan kucing itu.

“Saya memang sayangkan kucing,” kata Yusri, yang juga Penolong Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat makanan segera. Tambahnya, beliau sanggup `berhabis’ (mengeluarkan belanja besar) demi kucing sekali pun mengakui kos untuk membela kucing baka Parsi Himalaya bukan sedikit.

Hampir RM200 dibelanjakan setiap bulan, merangkumi kos makanan, pasir untuk kencing berak kucing, perubatan dan penjagaan sampingan, termasuk alat pengering, pengetip kuku dan sikat.

Itu untuk seekor kucing. Yusri sudah memiliki lebih daripada 10 ekor kucing, termasuk Apple, kucing betina baka Parsi yang dibeli pada harga RM500.

Ada yang dijual, diberikan kepada kenalan dan ada yang hilang juga mati. Kini, Yusri memiliki lima ekor kucing baka Parsi - Cherie, ET, Mango, Pingu dan Snowy (semuanya keturunan Rico dan Apple). Rico diserahkan kepada seorang rakan dan hilang ketika dipelihara rakannya itu.

“Ada juga rakan dan keluarga yang menyuarakan rasa tidak senang dengan kegemaran saya ini. Yalah, bukan saja kos mahal, penjagaan kucing baka ini juga rumit, macam jaga anak.

“Memang ya tetapi saya tidak pernah melihat kucing saya ini sebagai haiwan peliharaan. Mereka adalah anak-anak saya, mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya,” katanya yang berkongsi minat dengan isteri Sharifah Azliliyani Syed Shahazeman dan dua anak, Mohd Shamer, 12, dan Mohd Shafrie, 10.

Kalau sudah namanya keluarga, ke mana saja, terutama jika mahu pulang ke kampung halaman, pastilah `anak-anak’ ini harus dibawa bersama, bukan?

Itulah kerja Yusri anak-beranak. Setiap kali pulang ke kampung halaman, bagaikan hendak berpindah rumah! Ruang menyimpan barang di bahagian belakang kereta bukan hanya dipenuhi barangan keperluan mereka empat beranak tetapi dipadatkan juga dengan sangkar besar yang memuatkan lima `anaknya’ yang lain.

Lebih menarik, setiap kali mereka mahu pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, kampung halaman isteri di Kuantan, pasti turut menjadi destinasi wajib kerana lima `anaknya’ itu.

“Kami akan singgah dulu di Kuantan untuk meninggalkan Cherie, ET, Mango, Pingu dan Snowy di sana kerana keluarga di Johor Bahru tidak gemarkan kucing.

“Di Kuantan pun mereka menerima layanan istimewa. Disebabkan bulu mereka yang tebal dan mereka cepat berasa panas, sebuah kipas dikhaskan untuk mereka,” katanya.

Macam-macam kerenah `pencinta’ kucing ini. Nampak remeh dan rumit tetapi kata Yusri, hanya mereka yang memiliki kucing tahu betapa seronok dan istimewanya membelai si comel.

Perasaan inilah yang dikongsi Hyira Mohammad, 25. Kerjayanya sebagai Eksekutif Jualan menemukannya dengan Yusri. Pertemuan yang dirancang untuk membincangkan hal perniagaan, bertukar menjadi medan bercerita mengenai kucing berikutan minat mereka yang sama.

Bukan saja berjaya mendapatkan kontrak perniagaan, pertemuan itu turut `menghadiahkan’ Hyira, si Penyek; hadiah daripada Yusri dan keluarga.

Kehadiran Penyek yang juga diberi nama jolokan Brat menceriakan hidup Hyira suami isteri. Seperti Yusri dan isterinya yang membahasakan diri sebagai Abah dan Umi pada lima `anak’ itu, Hyira juga membahasakan dirinya Mummy manakala suami, Daddy.

“Penyek macam budak-budak yang sedang nakal. Sangat aktif dan gelagatnya menghiburkan kami. Kadang-kadang bila dia terlebih nakal dan saya memarahinya, Daddy dia akan panggil dan membawa dia jauh daripada saya sambil berkata, jangan buat Mummy marah,” katanya.

Memelihara baka Parsi, nyata tidak mudah dan tidak murah buat Hyira.

Setiap bulan, kira-kira RM100 diperuntukkan untuk kos makan, perubatan dan penjagaan kucing kesayangannya itu. Tidak lagi termasuk belanja membeli pakaian untuk Penyek!

Ketika ditemui di rumah Yusri baru-baru ini, Penyek lengkap berskaf merah, ala pengakap. Selain skaf, Penyek memiliki bow tie, baju dan boxer. Macam manusia...

Sengaja mengusik Hyira, berapakah jumlah wang yang akan diperuntukkan untuk membeli pakaian Penyek menjelang Hari Raya nanti?

“Tak pasti tetapi saya akan belikan dia macam-macam pakaian. Dia pun hendak beraya,” kata Hyira.

Beberapa jam menghabiskan masa bersama keluarga Yusri dan lima `anaknya’ serta Hyira dan Penyek memang menghiburkan.

Suasana seperti petang itu kata Yusri dan Hyira adalah sesuatu yang biasa bagi mereka. Penyek yang juga adik-beradik Snowy sentiasa dibawa mengunjungi keluarganya untuk bermain.

Inilah kelebihan `pencinta’ kucing, jelas Yusri. Bukan hanya berseronok menjaga kucing tetapi ia turut merapatkan hubungan sesama manusia.

Utamakan kebersihan hindari alahan

TENTU sedikit kecewa bila niat untuk memiliki binatang peliharaan terbatas gara-gara halangan penyakit tertentu.

Masalah bertambah rumit apabila haiwan yang berbulu seperti kucing, anjing dan hamster yang menjadi kegemaran sebagai haiwan peliharaan berupaya menyebarkan simptom alahan.

Namun, bagaimanakah caranya untuk seseorang yang mudah terkena simptom alahan berpeluang untuk memiliki haiwan peliharaan?

Doktor Veterinar, Animal Medical Centre Kuala Lumpur, Dr Kamalan Jeeva Ratnam berkata, kekerapan membasuh tangan berupaya menghindarkan diri daripada terkena alahan apabila membelai haiwan peliharaan.

Katanya, elakkan juga menyentuh beberapa bahagian yang terdedah dengan kesan alahan seperti di sekitar bahagian mata dan hidung.

“Tidak semua orang sebenarnya terdedah dengan kesan alahan kucing. Lebih ramai manusia sebenarnya lebih mudah terkena alahan habuk di dalam rumah.

“Justeru, pindahkan beberapa perabot dan permaidani yang memerangkap habuk serta pastikan kucing tidak berkeliaran di tempat tidur dan ruang kita berehat,” katanya.

Beliau berkata, antara tanda awal yang dihadapi penghidap alahan terhadap bulu kucing ialah seperti kemerahan, kegatalan, mata berair, hidung berasa gatal, bersin, sukar bernafas, sakit kerongkong, batuk, termengah-mengah atau kulit gatal.

Adalah penting bagi `pencinta’ kucing memastikan kebersihan diri dan persekitaran untuk memastikan ruang kediaman bebas daripada sebarang kesan alahan.

Kata Dr Kamalan Jeeva, walaupun faktor kebersihan mungkin tidak dipandang serius, ia sebenarnya adalah kunci untuk menghindar daripada kesan alahan.

Selain alahan, kucing juga dikata menyebarkan bakteria bartonella henselae, yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, terutama wanita hamil.

Bakteria ini boleh dipindahkan oleh kucing kepada manusia menerusi gigitan, cakaran dan pendedahan kepada air liur kucing. Jangkitan bakteria ini menyebabkan penyakit Cat Scractch Disease (CSD) (penyakit cakaran kucing) dengan simptom awal menyerang seperti demam, berasa sejuk, sakit kepala dan bengkak di bahagian luka, yang boleh berlanjutan antara tujuh hari hingga dua bulan.

CSD bagaimanapun tidak berjangkit dari seorang individu kepada individu lain kerana ia disebarkan menerusi cakaran atau gigitan kucing yang terdedah kepada kuman bartonella henselae.

“Kuman bartonella henselae selalunya berada dalam air liur kucing tanpa mengira jenis atau baka kucing. Kuman ini datang daripada kutu dan kucing bertindak sebagai `pembawa’.

“Kewujudan kuman ini dalam air liur kucing tidak membuatkan kucing itu sakit. Hampir kebanyakan kucing memiliki kuman ini dan anak kucing lebih terdedah kepada bartonella henselae berbanding kucing dewasa,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Kamalan Jeeva menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan doktor jika digigit atau dicakar kucing bagi mengenal pasti kesan gigitan itu kepada kesihatan.

Paling utama, katanya, pemilik kucing harus mengetahui sebarang perubahan pada kucing jika melihat tanda seperti kurang aktif dan tidak mahu berkeliaran.

“Penting juga untuk memeriksa najis kucing untuk mengenal pasti faktor perubahan semasa, seterusnya rujuk kepada doktor veterinar jika bimbang tahap kesihatan kucing,” katanya yang menggalakkan pemeriksaan biasa kucing untuk mengetahui tahap kesihatan si comel.

Golongan berisiko alahan

1) Kanak-kanak
2) Warga tua
3) Penghidap barah
4) Penghidap HIV
5) Pesakit diabetes
6) Pesakit yang mengambil steroid
7) Mereka yang membela dan gemar membelai kucing

Tindak balas alahan

  • Bersin
  • Gatal-gatal hidung
  • Hidung tersumbat
  • Berhingus
  • Mata terasa gatal-gatal
  • Mata menjadi kemerah-merahan dan berair (seperti menangis)
  • Kadangkala batuk
  • Lelangit terasa gatal
  • Nafas berbunyi

    Dapatkan rawatan jika

    a) Cakaran atau gigitan tidak sembuh dalam tempoh dua ke tiga
    minggu

    b) Kawasan gigitan bertukar merah dan membesar dua hari atau
    lebih selepas ia terjadi

    c) Demam berpanjangan untuk beberapa hari selepas terkena
    cakaran atau gigitan

    d) Kelenjar limfa yang membengkak dan sakit lebih dari dua atau
    tiga minggu

    e) Sakit sendi atau tulang, sakit perut (muntah atau
    cirit-birit tetapi tidak demam)

    f) Berasa sangat letih lebih dari tempoh dua atau tiga minggu

    CSD

    Diagnosa dan Rawatan CSD


    - Tiga jenis ujian:

    1) Ujian kulit
    2) Ujian darah
    3) Ujian B.henselea (menggunakan cecair atau tisu dari kelenjar limfa yang bengkak)

    Komplikasi CSD

    1) Jangkitan kuman pada kulit otak atau pada otak (meningitis\dan encephalitis). Ia berlaku pada tiga hingga lima peratus pesakit yang dijangkiti.

    2) Radang pada retina mata.

    Pencegahan CSD

    1) Bunyinya agak remeh tetapi setiap kali selepas memegang kucing anda perlu membasuh tangan.
    2) Hati-hati membelai kucing.
    3) Mandikan dan bersihkan kucing bagi mengelak kutu.
    4) Jangan leraikan kucing yang bergaduh.

    Tips penjagaan kucing

    1) Berikan makanan seimbang dan berzat mengikut peringkat usia.
    2) Pastikan pengaliran udara dalam sangkar serta bekalan minuman mencukupi.
    3) Buang najis untuk menjaga kebersihan dan menyah bau.
    4) Sering menyikat bulu kucing jika ia berbulu panjang.
    5) Kerap melakukan pemeriksaan pada badan dan muka kucing untuk memastikan tiada kesan luka dan calar.
    6) Periksa mulut dan bersihkan giginya dengan kapas.
    7) Selalu membuat pemeriksaan di klinik untuk menjamin kesihatan si comel. Jika perlu, berikan suntikan untuk menghindar daripada terkena penyakit.

  • Khamis, 22 Mei 2008

    Gambar Kucing



    Hahaha...Handsome tak aku???


    Tips memilih kucing

    Kucing ada perbezaan dari segi fizikal dan personaliti, jadi adalah bagus untuk anda mengetahuinya sebelum memelihara atau membeli seekor kucing. Di sini ada beberapa kunci untuk tolong anda memilih kucing yang terbaik untuk anda:

    • Kegemaran bermain

      Sesetengah jenis kucing macam Russian Blue suka pilih salah seorang ahli keluarga sebagai kawan istimewanya. Lain-lain jenis pula macam Persian Tabby sangat peramah, mesra dan tak kisah dengan sapa-sapa pun. Pertimbangkan kadar kemesraan kucing terutamanya jika anda ada kanak-kanak di rumah sebelum memilih jenis kucing yang anda suka.

    • Saiz badan

      Ada pelbagai saiz kucing. Purata saiz kucing jantan adalah di antara 9-14 paun manakala kucing betina pula adalah di antara 6-10 paun.

    • Tahap ketenangan

      Seekor kucing yang tenang akan menghabiskan banyak masanya dengan berlingkar di atas kerusi berbanding kucing cergas yang suka bermain-main di kain pengesat kaki, mencakar gambar dan tak mudah didekati.

    • Pemberusan harian

      Sesetengah kucing perlu diberus setiap hari untuk elakkan bulunya dari kusut dan bergumpal. Selain itu, memberus juga akan membuat bulu kucing anda lembut!

    Penjagaan Kucing Kesayangan

    Di sini saya ingin berkongsi beberapa tips penjagaan kucing dari segala aspek.
    Kucing merupakan binatang peliharaan yang unik dan popular di kalangan masyarakat Malaysia.Namun begitu,ramai yang kurang memberi perhatian dalam aspek penjagaan kucing. Antara aspek yang perlu dititikberatkan ialah :

    • Kesihatan fizikal.
    • Kesihatan dalaman.
    • Kebersihan kucing.
    • Pemakanan.

    Kesihatan fizikal merangkumi aspek kesihatan anggota badan kucing. Pastikan setiap anggota badan kucing seperti tapak kaki kucing tidak mengalami pendarahan.

    Kesihatan dalaman pula merangkumi aspek tindak balas kucing sepert selera makan. Jika anda mendapati kucing anda kelihatan tidak berselera untuk dan mengalami simptom - simptom yang pelik sepeti batuk,bawa kucing anda kepada doktor haiwan untuk pemeriksaan bagi memastikan tiada organ dalaman kucing anda yang tercedera.

    Kebersihan kucing pula adalah sesuatu yang patut diberi perhatian oleh setiap pemelihara haiwan ini kerana kucing yang cantik dan bersih luarannya akan menjadi perhatian bukan sahaja kepada orang lain, malahan kepada pemelihara kucing itu sendiri.

    Kucing juga harus diberi syampu yang sesuai dan diberi mandi pada masa yang sesuai.Ini bagi menjamin kebersihan dan secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan jangkitan virus kepada kucing.

    Dari aspek pemakanan pula, pastikan kucing anda mendapat segala mineral dan nutrien yang secukupnya. Ini bagi menjamin kadar pertumbuhan dan kesihatan kucing. Jika anda ingin melihat kucing anda aktif dan cergas, sediakanlah makanan yang menyelerakan serta berprotein tinggi untuk kucing anda.